Rabu, 14 Oktober 2009

INFO-PINJAMAN PERUMAHAN ANDA

Bagi sesiapa yang ingin membuat pinjaman perumahan saya ada beberapa perkara yang ingin dikongsi bersama anda. Mula-mula sekali anda kena pastikan samada anda layak atau tidak mendapat diskaun 5% untuk bumiputera dari pemaju perumahan sebelum anda menandatangani perjanjian jual beli rumah. Selepas itu anda boleh membuat pinjaman bank pilihan anda melalui firma peguam yang anda pilih sendiri atau pilihan pemaju perumahan.

Terdapat banyak bank yang menawarkan pinjaman perumahan yang berasaskan Perbankan Islam. Anda kena pastikan syarat-syarat wajib yang dikehendaki oleh setiap bank yang menawarkan pinjaman perumahan ini. Bank yang mesra kakitangan kerajaan ialah Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional. Manakala Bank yang mesra kakitangan swasta ialah Bank Islam, Bank Muamalat, Maybank Berhad, Public Islamic Bank, CIMB Islamic Bank. Apa yang anda perlu tahu di sini ialah kadar BLR, CPR dan Bank Sale Price. Anda boleh membuat perbandingan kadar BLR, CPR dan Bank Sale Price di setiap bank pilihan anda untuk melihat perbezaan kadar dan faedah yang ditawarkan oleh bank-bank yang telah anda pilih. Kerana setiap bank terdapat perbezaan dan anda boleh membuat pilihan yang bijak bagi membayar balik pinjaman perumahan anda. Ada juga bank yang boleh memberi pinjaman sehingga 95%. Ikutlah bujet anda yang termampu anda bayar.

Tip-tip bagi mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman perumahan anda, semasa anda menandatangani perjanjian perumahan telitilah perkara berikut, pertama:- adalah lebih baik anda mengambil pakej yang bukan percuma maksud saya 'with FMC' atau 'free legal documentation package' kerana ia akan menambah beban kepada pinjaman bayar balik anda. Oleh itu jangan ingat semua percuma adalah bagus. Kedua:-jika rumah anda telah siap (completed house) ambil kaedah bayaran sekaligus selama 20 tahun atau 30 tahun. Jangan ambil kaedah bayaran yang ada tahun pertama, kedua dan ketiga. Ketiga:- jangan sesekali memasukkan sekali insuran nyawa anda di dalam surat terima (Acceptance Letter) anda, asingkan insuran nyawa dengan pinjaman perumahan. Adalah lebih baik anda membeli sendiri insuran nyawa anda dengan bayaran tunai. Untuk polisi kebakaran (fire insurance) ikutlah bank kerana ada bank yang menetapkan polisi wajib dibuat dengan takaful yang bekerjasama dengan bank itu sendiri. Ada setengah bank tidak ada masalah. Didalam buku Azizi Ali yang bertajuk Langsaikan PINJAMAN PERUMAHAN anda dalam tempoh 5 tahun @ kurang ada tercatat cara untuk mempercepatkan bayaran balik pinjaman perumahan anda, mungkin anda boleh mengikut panduan yang beliau berikan.

Awas!!! Ada juga pegawai bank yang ingin mendapat komisen dari anda dengan menetapkan panel guaman untuk anda dan memasukkan insuran bersama dengan jumlah pinjaman perumahan. Anda sebenarnya boleh memilih sendiri panel guaman yang anda suka dan memilih mana-mana insuran takaful untuk dibayar tunai. Berhati-hatilah semasa membuat urusan pinjaman perumahan anda supaya anda tidak dibebankan dengan bayar balik pinjaman yang tidak sepatutnya. Dapatkan lebih banyak maklumat mengenai pinjaman anda supaya anda boleh melihat perbezaan dan membuat pilihan yang terbaik untuk kredit anda..

Untuk pengetahuan anda semua, kerajaan telah mengurangkan cukai duti setem 50% untuk pembeli rumah pertama kali DAN juga mengurangkan duti setem keatas pinjaman perumahan yang pertama kali mulai 30 Ogos 2008 – 31 Disember 2010. Dan diingatkan harga rumah tersebut tidak lebih dari RM250,000.00 bagi pembelian satu unit harta kediaman sahaja. Tunggu apa lagi cepat-cepatlah membeli rumah idaman anda sekarang.
(ini adalah coretan dari pengalaman sendiri)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan